Saturday, 28 July 2012

MARI BERSANGKA BAIK


Semalam seharian kita hidup dan Alhamdulillah sehingga hari ini kita masih bernyawa, hampir seluruh masa kita akan bersangka. Ketika hendak pergi ke tempat kerja, kita akan bersangka sama ada jalan sesak atau tidak. Ketika membeli makanan di kedai, kita akan bersangka sama ada sedap atau tidak dan sebagainya.
Bersangka terbahagi kepada dua, iaitu buruk dan baik. Sudah semestinya semua tahu apa itu buruk dan apa itu baik. Akan tetapi, dalam banyak sangkaan kita itu, berapa banyakkah sangkaan baik dibandingkan dengan sangkaan buruk?
Situasi 1:
Ali membeli gula-gula lalu dibawa ke sekolah. Kemudian Abu melihat bungkusan gula-gula itu lalu terdetik di hatinya, 'Ali ni nak berlagak bawak gula-gula ke?' atau 'Ish, mana boleh makan gula-gula di sekolah'.
Situasi 2:
Ali membeli gula-gula lalu dibawa ke sekolah. Kemudian Abu melihat bungkusan gula-gula itu lalu terdetik di hatinya, 'Eh, Ali membawa gula itu kenapa ye? Mungkin kerana mahu memberi kepada rakan-rakan' atau 'Alhamdulillah, Ali membawa gula itu kerana cikgu memesannya membawa untuk diberikan hadiah kelak tatkala quiz dilakukan'.
Yang mana satu situasi kita? Sejujurnya bagi diri saya, posisi saya di Situasi 1, kerana saya juga kadangkala terdetik sangkaan buruk di fikiran ini. Akan tetapi, saya tahu, ramai lagi yang memilih Situasi 2 kerana itulah yang sebaiknya. Bersangka baik.

Memang sukar untuk bersangka baik, sememangnya satu cabaran untuk kita. Tetapi terdapat banyak keburukan dalam bersangka buruk. Contohnya, ia boleh membuahkan perasaan hasad dengki dan sebagainya. Malah, ia akan menjadikan diri kita sendiri lebih buruk daripada orang lain.
Apakah pangkat atau darjat kita sehingga mudah untuk menilai yang buruk bagi orang itu sedangkan zahirnya mereka melakukan perkara baik? Bukanlah hak kita untuk bersangka buruk dan memburukkan seseorang itu dengan hanya melihat dari segi fizikalnya sahaja. Hak untuk menilai seseorang itu hanya terletak pada Allah. Hanya Allah yang berhak menilai seseorang kerana Dialah yang mengetahui setiap hambanya dari dalam sehingga luar dan apa yang kita tidak nampak. Hak kita hanya bersangka baik kerana itu yang terbaik.
Oleh itu, saya juga sentiasa menasihati diri sendiri dan para pembaca supaya bersangka baik dalam apa jua tindakan. Jangan terlalu mudah kita menilai seseorang itu jika seseorang itu hanya melakukan satu perkara yang kurang enak pada pandangan kita tetapi tidak menjejaskan orang lain.
Tiada hamba yang sempurna dan kita perlu sentiasa mencari seribu satu jalan untuk membaiki diri kita dari masa ke masa. Apabila kita nampak seseorang itu melakukan sesuatu perkara, jangan mudah bersangka buruk. Bersangka baiklah kerana ianya baik untuk diri, hati dan perbuatan kita.
Jika seseorang itu melakukan perkara buruk, ambil pengajaran dan ingatkan diri kita supaya membaiki diri menjadi lebih baik dan tidak melakukan perkara yang tidak elok. Bersangka baik, hati baik, diri baik, semuanya baik. Insya-Allah :)
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. "
(Surah al-Hujuraat, ayat 12)

Wednesday, 13 June 2012

UNTUKMU WANITA YANG BERSEDIH


ansipasi mengajar wanita erti kebebasan
Hak-hak yang tidak pernah wujud mula dituntut
Sehingga ada di antara kamu mula memberontak
Dan apabila itu terjadi pada dirimu
Kau juga ingin menjadi seperti mereka
Seringkali kesabaran itu diuji
Sehinggakan satu hari nanti
Kau akan menangis semahumu
Bersujudlah...
Berdoalah...
Dan letakkanlah keikhlasan itu ke tempat yang paling tinggi
Dalam hatimu
Sememangnya
Ceria adalah lumrah
Apabila kehidupan berjalan lancar
Tetapi seseorang itu akan lebih dikagumi
Apabila masih mampu tersenyum
Ketika dirinya dilanda derita dan masalah
Demi sesungguhnya
Allah tidak akan menguji hambanya
Melebihi kemampuan mereka
Dan apabila itu terjadi
Itu ertinya kau kuat mengharungi cubaan itu
Sebagai bukti cinta Allah kepadamu
Juga sebagai bentuk penghapusan dosa
Bangkitlah dikau wahai wanita yang bersedih...

Friday, 18 May 2012

Abdul Rahman Auf Yang Menangisi Kemewahan

Abdul Rahman Bin Auf bin Abdul Harith bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luayyi Al Quraisyi Az Zuhri lahir 10 tahun selepas tahun gajah dan membesar sebagai seorang pemuda yang teguh peribadi dan memiliki karismatik yang berkualiti.
Beliau mendapat pendidikan awal dengan sifat berani, tegas, toleransi, zuhud dan dermawan. Selain menjadi ahli ekonomi yang berwibawa dan amanah, beliau merupakan antara sepuluh orang sahabat yang dijamin syurga dan salah seorang dari 6 anggota mesyuarat untuk memilih khalifah selepas wafatnya Al Farouk rha.
Beliau wafat pada tahun 31 hijriyyah dalam usia 73 tahun dan di maqamkan di Baqi'
Sebelum Islam
Menjauhi penyembahan berhala, maksiat dan mungkar.
Persekitaran hidup dalam keluarga mulia dan bermaruah.
Selepas Islam
Orang yang kelapan memeluk agama Islam.
Menyertai program perkaderan di Darul Arqam.
Melakukan hijrah ke Habsyah sebanyak dua kali dan akhirnya ke Madinah Al Munawwarah.
Menyertai semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah
Jati Diri Yang Kental
Abdul Rahman bin Auf telah dipersaudarakan oleh Rasulullah saw dengan Saad Ibnu Rabi'e seorang bangsawan dan jutawan Madinah (Al Ansar). Namun beliau tidak mengambil kesempatan dan peluang untuk memboloti harta kekayaan saudaranya sekalipun beliau mendapat tawaran yang lumayan termasuklah memilih salah seorang daripada isteri saudaranya.
Sebaliknya beliau meminta Saad menunjukkan kepadanya dimanakah pasar dan beliau memulakan perniagaan dipasar tersebut dengan keringat dan semangat berdikari yang gigih.
Berdikari
Prinsip berdikari yang dimiliki oleh Abdur Rahman bin Auf menjadi formula asas kejayaan dan kecemerlangan beliau. Berdikari adalah tanda harga diri individu yang bermaruah dan bebas dari hidup bergantung dengan orang lain. Prinsip inilah juga yang diajar oleh Rasulullah saw. buat semua ummat bagi membina tamadun yang cemerlang.
Sabda Rasulullah saw.:
"Tiada sesuatu makanan yang baik melebihi apa yang dihasilkan dari usahanya sendiri. Nabi Allah Daud makan dari hasil usahanya sendiri." - Riwayat Bukhari
Amanah
Kecemerlangan yang diperolehi dalam perniagaannya juga banyak bergantung kepada sifatnya yang amanah, sifat inilah meletakkan beliau sebagai usahawan yang berjaya dan beliau juga antara sahabat yang paling kaya di Madinah.
Rasulullah saw. pernah menyebut:
"Engkau adalah yang dipercaya(amanah) dikalangan penghuni langit dan engkau jugalah yang dipercaya (amanah) dikalangan penghuni bumi."
Taat
Peribadinya yang soleh dan taat kepada Allah swt pula menjadi modal utama yang menjana kemajuan gemilang dalam kerjayanya sebagai seorang ahli ekonomi dan usahawan. Peribadi ini diiktiraf oleh baginda Rasul saw dengan sabdanya:
"Tidak dicabut roh seseorang Nabi sehingga ia sembahyang di belakang seorang lelaki yang soleh dari ummatnya."
Pengurusan Ekonomi Berorientasikan Kebajikan
Kejayaan gemilang yang dicapai oleh Abdul Rahman bin Auf Rha. tidak menjadikan beliau lupa daratan dan menyeleweng dari manhaj Rabbani. Sebaliknya beliau menangani kekayaannya dengan menabur bakti kepada agama, perjuangan dan ummah.
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitab Al Hilyah daripada Az Zuhri katanya:
"Abdul Rahman bin Auf telah bersedeqah di zaman Rasulullah saw. setengah dari hartanya yang berjumlah Empat Ribu Dirham kemudian beliau mengorbankan 40 Ribu Dirham, 500 kuda di jalan Allah swt. diikuti pula 1500 ekor unta di jalan Allah swt. Kesemua harta itu adalah hasil perniagaannya."
Dermawan
Sikap inilah (dermawan) yang dicerminkan oleh Al-Quranul Karim sebagai sikap orang–orang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt.
"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Surah Ali Imraan, 92)
Kikir dan bakhil adalah merupakan sifat tercela yang merosakkan hubungan damai dan harmoni sesama muslim.
"(Ingatlah), kamu ini adalah orang-orang yang bertabiat demikian-kamu diseru supaya menderma dan membelanjakan sedikit dari harta benda kamu pada jalan Allah, maka ada di antara kamu yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya ia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatupun), sedang kamu semua orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepadaNya dalam segala hal). Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma) Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu." (Surah Muhammad 38)
Sementara tamak haloba pula memusnahkan asas kebajikan malah mendorong permusuhan dan hasad dengki yang membantutkan perkembangan ekonomi ummah.
Membelanjakan Harta Demi Keredaan Allah
Dikeluarkan oleh Ahmad daripada Anas rha. katanya: "Tatkala Aisyah rha. berada di dalam rumahnya, beliau telah mendengar satu suara di Madinah. Beliau bertanya "Apakah yang telah terjadi? Kaum muslimin menjawab: "Kafilah Abdul Rahman bin Auf terdiri dari 7 ratus unta."
Maka bergemalah Madinah dengan teriakan suara tersebut. Aisyah rha. berkata aku telah mendengar Rasulullah saw. bersabda: Aku melihat Abdul Rahman masuk kedalam syurga dengan merangkak. Apabila kata–kata nabi tersebut sampai ke pengetahuan Abdul Rahman bin Auf lalu beliau berkata: Jika aku mampu, aku akan masuk syurga itu dalam keadaan berdiri.
Lalu beliau menyerahkan kesemua unta tersebut di jalan Allah swt.
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim di dalam kitabnya Al Hilyah.
Peristiwa ini jelas mengisyaratkan bahawa Abdul Rahman bin Auf sekalipun dilimpahi harta kekayaan dalam hidupnya tetapi tidak sampai ia menjadi hamba kepada harta, malah juga tidak mampu untuk melalaikan beliau daripada mengingati Allah swt.
Situasi ini menunjukkan beliau menguasai harta bukan harta menguasai beliau. Kedudukkan seperti inilah yang menjadikan seorang usahawan benar – benar merdeka dan bebas dari belenggu fikrah maadiyyah.
Bahaya Fikrah Maadiyaah (Kebendaan)
Pengidap faham maadiyyah ini sangat merbahaya dan membawa virus yang sangat sukar untuk dirawat. Mereka yang terpengaruh dengan faham maadiyyah hanya memikirkan soal dunia, duit dan hidup semata – mata.
Mereka tidak memikirkan bagaimana dosa, pahala, syurga, neraka dan akhirat. Ini menjadikan mereka petualang yang hanya mementingkan diri sendiri, kekayaan dan kemewahan dengan tidak memperduli bagaimana cara memperolehinya, samaada cara yang halal atau haram, baik atau buruk, hak atau bathil, adil atau zalim, benar atau bohong, amanah atau khianat.
Apa yang lebih parah, golongan ini akan menjadi cinta dunia dan benci kepada mati. Jika seorang usahawan bersikap seperti ini bukan sahaja tidak mendapat berkat dan rahmat dalam projek atau perniagaan mereka, malah mereka dimurkai oleh Allah swt.
"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan), dan yang reda (berpuashati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya, dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami, -Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan." (Surah Yunus 7–8)
Renungi ungkapan ulama' sufi terkenal Abu Sulaiman Ad Darani:
Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap datang mendampinginya, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka akhirat akan menyisih, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang mulia sedang dunia adalah suatu yang keji.
Material (Kebendaan) Menurut Perspektif Islam

Islam tidak melarang ummatnya mencari harta dan memiliki kekayaan, malah mengajar ummatnya mencari harta dengan kaedah yang betul. Lihat lah bagaimana sahabat karib Baginda Rasul saw. seperti Abdul Rahman bin Auf mencari harta dan memiliki kekayaan.
"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya / untung (di dunia dan di akhirat)." (Surah Al Jumua'h: 10)
Kebendaan merupakan sebahagian daripada alat kelengkapan dan berfungsi sebagai alat bantu kekuatan. Justeru itu Islam memberi ruang selesa kepada ummatnya berdikari dan mengusahakan hasil bumi.
Namun begitu, kebendaan yang diusahakan dan kekayaan yang dicita, bukan menjadi prinsip hidup yang mencetus faham kebendaan, segalanya sebagai sarana untuk menjulang syiar Agama Allah swt. bukan sebaliknya, iaitu menjadi hamba kepada benda dan kekayaan.
Kebendaan dan kekayaan diperlukan agar ummat Islam tidak bangsat dan hina di mata dunia, pula dalam masa yang sama, ia tidak sampai membawa ummat Islam keperingkat ego dan bongkak.
Usahawan Yang Takut Kepada Allah Dan Manangisi Kemewahan Dunia
Dikeluarkan oleh Abu Nuaim didalam kitab Al-Hilyah daripada Naufal bin Ilyas Al–Hazili katanya: Abdul Rahman bin Auf rha. sering duduk bersama–sama dengan kami. Beliau adalah sebaik–baik orang apabila duduk bersama–sama dengan kami, suatu hari beliau telah meninggalkan kami dan tidak bersua dengan kami lalu kami pun masuk menemuinya di rumahnya.
Beliau telah kembali ke rumahnya dan mandi, lalu kami menghidangkannya satu dulang roti dan daging. Apabila makanan tersebut dihidangkan dihadapannya, beliau pun menangis.
Kami bertanya kepadanya, "Wahai bapa Muhammad, apakah yang menyebabkan kamu menangis?"
Beliau menjawab: "Rasulullah saw. telah meninggal dunia dalam keadaan beliau dan ahli keluarga beliau tidak pernah kenyang dengan makanan yang terdiri dari roti gandum."
Aku berpendapat, kita ketinggalan kebelakang dari apa yang lebih baik bagi kita.
(Dikeluarkan oleh Tarmizi dan As Siraj daripada Naufal dan seumpama dengannya sebagaimana dalam Isobah.)
Kezuhudan Abdul Rahman bin Auf rha. ini sangat menyerlah, bukan sahaja melalui peribadi dan aksinya bahkan sikap dan prinsip beliau. Inilah yang menjadikan beliau sebagai seorang usahawan yang amat disenangi oleh penghuni dibumi dan juga penghuni dilangit. Beliau dijamin syurga oleh Baginda Rasul saw.

Sunday, 6 May 2012

kekurangan itu kelebihan

Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat-Ku kepadamu, dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (QS. Ibrahim [14]:7).
kebiasaannya, bila kita di kurniakan nikmat, rezeki, kegembiraan mahupun kelebihan, apa yang kita akan lakukan??
BERSYUKUR!
ya, itulah yang seharusnya.
tapi...
bagaimana pula kalau kita di berikan kekurangan. kecacatan, kemiskinan, kedukaan dan ujian. berapa ramai yang bersyukur?
tepuk dada, tanya iman?
saya pasti mungkin hanya segelintir di antara kita yang bersyukur bila ditimpakan ujian. mungkin dalam 100% hanya  5% yang bersyukur dan berlapang dada bila ditimpa ujian.
Sedarkah kamu?
beruntunglah bagi mereka yang selalu bersyukur dan sabar. Banyak kelebihan yang di berikan oleh Allah SWT kepada mereka yang bersyukur dan sabar dengan ujian yang diturunkan.
fiman Allah:
"Mereka yang sabar dalam musibah, kemiskinan dan ketika peperangan. Merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa - memelihara dirinya dari kejahatan". (QS Al Baqarah : 177).
saya pasti kalian mesti pernah dengar kata kata ini:
"after every storm there is a rainbow"
Walau apa juga ujian yang diturunkan kuatkan semangat dan azamkan tekad. yakinlah dengan janji tuhan.
Biar kita miskin, biar kita buruk, biar kita cacat asal hidup mendapat berkat.
Fikrkan setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang diberikan. begitu juga sebaliknya. setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang di ciptakan lemah dan tidak sempurna.
Ingan kekurangan itu hebat. jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri. kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan mempunyai kelebihan dan keberkatan tertentu.
ingatlah,
Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri dengan cara saling lengkap melengkapi. macam yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan begitulah sebaliknya.
Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu di atas. janganlah kita mencaci kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu yang kita tidak ada daripada orang yang kita pernah hina dulu.
kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. sebaliknya besyukurlah. kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa.
dan ingatlah,setiap kekurangan yang kita memiliki yang merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. bukankah kekurangan dan ujiaan itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita?
renung renungkan.
Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. bersyukurlah dengan setiap kurniaanya. kebaikan mahupun keburukan.

"Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al Anfaal:46]
sebagai kesimpulannya, marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan setiap kurniaanNya.
nota: bersyukur dengan segala yang ada pada diri kita. Tuhan hanya menginginkan ciptaannya selalu menjadi insan yang baik dengan ujian kelebihan dan kekurangan itu. dan selalu peduli antara satu sama yang lain dengan cara saling melengkapi kerana kerjasama itu akan menjadikan kita insan yang bersyukur dan menciptakan kebahagiaan yang tidak dapat digantikan dengan apa pun. indahnya nikmat syukur dan sabar.
"saling berpesan-pesan kepada kebaikan dan kesabaran."

Tuesday, 24 April 2012

Tahajudmu..Dimanakah Ia ?..


Pernahkah kalian, wahai saudara dan saudariku di sana :
Hanya kerana ingin menunaikan solat tahajjud yang menjadi syariat Rabbaniah (sudah ditetapkan hukumnya oleh Allah SWT) sebagai sunnah Nabawiah (sunnah yang telah ditetapkan hukumnya oleh Nabi Muhammad S.A.W) ???
- Berdoa kepada Allah
- Tidur awal (segera tidur selepas menunaikan solat isyak)
- Meminta bantuan rakan untuk kejut bangun malam
- Bersungguh-sungguh berniat untuk bangun (kerana teramat rindukan Allah dan ingin memabukkan diri dengan cintaNya)
- Meninggalkan SEGALA dosa dan maksiat supaya ia tidak menjadi penghalang kepada kamu untuk bangun dan segera sujud di      hadapanNya
Ketahuilah wahai saudara dan saudariku yang dicintai kerana Allah :
seseorang pernah bertanya kepada Hasan Al-Basri, bahawasanya dia enggan memaafkan orang yang pernah bersala, sehingga tidak dapat bangun solat lail (malam), walaupun dia bersungguh-sungguh berusaha untuk bangun. Hasan Al-Basri kemudian menjawab :
"Dosa yang telah kamu lakukan telah melilit tubuhmu."
(Ruhbanul lail)
Kesimpulannya saudara dan saudari, tinggalkanlah maksiat! tinggalkanlah maksiat! tinggalkanlah maksiat! Supaya dipermudahkan Ya Waliyu (Yang Maha Menguasai Urusan) untuk kalian bangun malam dan terus sujud padaNya yang sememangnya layak disembah.

Dicadangkan untuk saudara dan saudari, contohilah cara tidur kekasih agung Allah, Nabi Muhammad S.A.W., di mana nabi tidur miring ke kanan sambil berzikir memuji Allah sehingga tertidur. InshaAllah, Allah akan membangunkan hambaNya yang ikhlas yang benar-benar mahukan cintaNya. saudara dan saudariku, pada mulanya memang susah, tapi lama-lama mesti boleh bangun sendiri tanpa dikejutkan. Sesungguhnya, alah bisa, tegal biasa.
Menurut Ibnul Qayyim, beliau menerangkan fadilat tidur miring ke kanan yang disyariatkan oleh Nabi Muhammad seperti berikut :
" Tidur dengan miring ke kanan mengandungi hikmah yang amat bermakna bagi setiap orang yang sering bangun untuk Qiamullail. Menurut ilmu perubatan yang sudah diketahui, bahawasanya hati manusia berada di sebelah kirinya. Sehingga apabila dia tidur miring ke arah sisi kirinya, dia akan tidur nyenyak kerana hatinya telah mendapat rehat yang secukupnya. Apabila seseorang itu tidur dengan memiringkan tubuhnya ke kanan, fikirannya menjadi aktif sehingga dia tidak dapat tidur dengan nyenyak. dia akan berusaha miring ke arah kiri. dengan alasan inilah para doktor menyarankan agar tidur di sebelah kiri sehingga rehatnya sempurna. Itulah sebabnya Nabi Muhammad S.A.W memberi contoh, sebaiknya tidur dengan miring ke kanan, agar tidur orang mukmin itu tidak terlalu nyenyak sehingga dia melupakan solat malam. "
(Ibnul Qayyim dalam Zadul Ma'ad)

Perkara ini wahai murabbi dan murabbiahku, disokong lagi dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan daripada Barra' bin Azib r.a yang bermaksud:
"Jika kamu pergi ke tempat pembaringanmu, hendaklah kamu berwudhuk seperti wudhuknya orang solat. Kemudian berbaring ke sisi kananmu."
(Muttafaqun alaih)
Kesimpulannya, fokuslah kalian akan matlamat yang ingin dicapai dengan hati yang bersih (tidak hitam dari kesan coretan dosa-dosamu).